Lama juga aku mundar mandir mencari kak long, dari hujung bangunan kayu yang pertama ke hujung satu lagi tetapi kak long masih belum ada. Hampir terlupa, bukan di sini tempat yang kak long suruh aku tunggu dia. Dia berpesan minta aku menunggu nya di pagar sekolah. Mengingat itu, aku terus berlari kesana. Kak long, yer, kak long ada. Kak long ada.
“mu lari gi kemana?” tanya kak long separuh marah.
“cari kak long” kata ku sambil menghela nafas sesak kerana berlari lari.
“kang aku suruh tunggu sini”, bentak kak long dengan suara lebih tinggi.
Aku diam. Aku tahu aku salah, tapi kak long pun ada salah juga. Waktu aku sampai tadi kak long takde dan itu membuat aku panik. Jadi aku berusaha mencari nya. Padahal usaha itu nampaknya sia sia dan memenatkan.
Tanpa banyak soal lagi, kak long mengheret tangan ku menuju ke sekelompok ibu bapa yang sedang beratur dari luar kawasan atap bangunan sekolah kayu itu. Lalu kak long memerintahkan aku beratur di belakang mak cik yang paling belakang sekali. Aku akur, tidak membantah. Sebaik aku mengambil kedudukan, kak long pun berlalu sambil membisikkan.
“balik sekoloh karang, tunggu along kat pagor sekoloh”.
Lama juga aku perlu berada dalam barisan ini. Mungkin kerana aku sendirian, ada pak cik pakcik dan makcik makcik melintas barisan ku. Aku tidak berani untuk berkata apa apa melainkan terus diam di situ, sehingga aku kepenatan. Aku rasa letih dan penat sangat-sangat. Aku teringat sebotol air yang dibekalkan Cek. Ku keluarkan dan ku minum baki yang sudah tinggal separuh saja lagi.
Apabila aku sudah menghampiri meja guru yang bertugas, aku memang sudah lapar benar. Sambil menghulurkan surat beranak yang memang ku pegang dari mula mula tiba di sekolah ini tadi, aku pun bersuara.
“Cikgu, ayah saya suruh jumpa guru besar. Boleh tak saya jumpa guru besar? Surat beranak ini kena bagi guru besar aje”.
Guru bertugas itu (aku memang benar benar lupa namanya), mendongak dan bersuara:
“anak darjah berapa ?”
“darjah satu cikgu”
“hah? Mana ayah?”
“ayah kerja cikgu”
“Mak?”
“Mak kerja”
“abis, awak datang sorang ke”
“dengan kakak”
“mana kakak”
“kakak dah masuk kelas, dia darjah tiga chempaka”
No comments:
Post a Comment